Posted by : Unknown Sunday, April 26, 2015

"Sebagai seorang penerima biasiswa, awak kena guna biasiswa yang diberikan kepada awak itu dengan baik. Sebab duit biasiswa itu bukannya datang daripada langit. Duit itu datang daripada rakyat. Rakyat membayar kamu untuk belajar. Bayangkan kita guna biasiswa itu untuk beli game, berfoya-foya, belanja makwe, tidak rasa ke awak macam menyalahgunakan duit rakyat? Bila dekat akhirat nanti, awak perlu minta halal tau duit yang kamu dapat daripada setiap rakyat Malaysia ni kalau salah guna. Bayangkan 30 juta orang awak perlu cari dan minta halal untuk penggunaan duit tersebut. Saya tidak cakap benda tu tak boleh, but still ingatlah belajar itu tanggungjawab utama kita. Utamakan tujuan kamu fly ni untuk belajar dan menyumbang kepada rakyat. Biasiswa nak. Tapi study ke laut. Malas. Buat enshuu(latihan) pon tidak bersungguh. Benda yang patut diutamakan, disisihkan. Benda yang tidak penting pula diutamakan."

Kata-kata Rasyidah Sensei muncul kembali dalam kotak fikiran. Sungguh apa yang dikatakan oleh beliau tadi sangatlah benar dan mencucuk tepat ke jantung. Lebih padu daripada peluru M16.

Sebelum bermula kelas pagi tadi, apabila ditanyakan kepada para pelajar tentang apakah tujuan utama mereka untuk menyambung pelajaran ke Jepun, rata-rata jawapan yang diberikan kebanyakannya bermatlamat duniawi yang bersifat selfish. Beli kereta dekat Jepun sebab murah. Nak borong barangan elektronik banyak-banyak. Nak beli Gundam. Nak beli itu, beli ini dan lain-lain lagi. Mendengarkan jawapan yang diberikan membuatkan sensei berfikir sebentar, seakan ingin memberikan tazkirah. Ya, sangkaan aku benar. Beliau mengambil setengah daripada masa pnp nya untuk memberi tazkirah.

Ramai yang tidak menyedari hakikat ini. Begitu juga aku. Aku juga mempunyai matlamat aku untuk fly ke Jepun. Tidak perlulah tahu apakah matlamat itu. Yang jelas, matlamat itu jauh daripada untuk membantu rakyat apatah lagi memajukan agama dan negara !

Malam itu, aku baring di atas katil, menutup mata dan berfikir.

"Adakah aku telah menggunakan biasiswa dengan niat untuk membantu rakyat yang secara tidak langsung merupakan 'majikan' dan 'sponsor' aku?"

"Adakah dengan biasiswa ini, aku mampu menjadi produk yang berguna kepada rakyat suatu hari nanti?"

"Adakah aku mampu untuk mencari semua 30 juta rakyat Malaysia di Padang Mahsyar nanti untuk meminta halal atas duit yang diberikan mereka sekiranya aku menggunakan biasiswa yang diberikan ke jalan yang tidak sepatutnya?"

Sekiranya semua penerima biasiswa berfikiran macam ini, aku yakin tidak akan ada yang bermain-main semasa belajar. Malah mereka akan lebih tekun menuntut ilmu kerana biasiswa yang mereka peroleh itu akan 'dikembalikan' semula kepada rakyat, tidak kiralah dalam bentuk apa-apa pun.

Imam Ghazali juga pernah kongsi dengan anak muridnya tentang 6 perkara dan salah satu daripadanya adalah apabila beliau menanyakan kepada muridnya, 

"Apakah benda yang paling berat di dunia ini?"

Dalam kalangan muridnya itu ada yang menjawab gajah, besi, dan baja.

Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberikan itu benar. Tetapi, benda paling berat di dunia ini adalah 'memegang amanah'.

Kepada semua penerima biasiswa, bersyukurlah kerana pada usia yang muda kita telah dikurniakan oleh Allah untuk memegang amanah yang sangat berat sebegini. Yakinlah perancangan Allah itu ada hikmahnya yang tersendiri.

Ketahuilah pada suatu hari nanti, kita akan memegang amanah yang lebih besar daripada biasiswa. Mungkin kita akan menjadi ketua kepada sebuah keluarga. Ketua kepada sebuah daerah, negeri mahupun sebuah negara. Mungkin juga kita akan diamanahkan untuk memegang aset jutaan dollar.

Segalanya bermula daripada sekarang. Peganglah amanah betul-betul. Jangan salah gunakan amanah yang diberi. Ingatlah bahawa setiap perbuatan kita akan diadili oleh Allah suatu hari nanti.

Kepada rakyat Malaysia, terima kasih atas pelaburan yang telah diberikan kepada kami. Doakan kami yang terbaik supaya kami dapat menyumbang kepada kamu semua suatu hari nanti. Doakan kami!

Dan kepada mereka yang seperti aku, yang menggunakan biasiswa bukan untuk tujuan yang sepatutnya, set your mind yang kita guna biasiswa ini dengan tujuan untuk belajar. Jepun, London, Mesir, Jordon dan di mana-mana sahaja. Ingatlah, belajarlah kerana amanah oleh rakyat dan belajarlah kerana Allah. Tidak salah untuk kita menggunakan biasiswa kita untuk kemahuan kita. Tetapi jangan sekali-kali jadikan kemahuan itu sebagai tujuan utama.



"Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika 
Allah SWT meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin) 
di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya 
menyanggupi permintaan Allah SWT, sehingga banyak 
dari manusia masuk ke neraka kerana ia 
tidak mampu memegang amanah-Nya." 

(Tafsiran Surah Al-Ahzab 33:72)




AZ
Beranang, Malaysia.
10:15 pm

Leave a Reply

Subscribe to Posts | Subscribe to Comments

Welcome to My Blog

僕は小泉です!

僕について (Self)

Student .//. 162cm .//. Biru .//. PemburuMardhatillah .//. JAD .//. 日本 .//.

フォローワ (Followers)

友人のブログ(Belog kawan2)

有名なポスト (Popular Post)

- Copyright © BiarSampaiSyurga -Robotic Notes- Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -